SHAH ALAM - Isu skandal penyelewengan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion dijangka terus hangat dibangkitkan.
Meskipun siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah berada di peringkat terakhir, ia tidak mampu menghalang kelantangan pelbagai pihak yang mahu memastikan isu tersebut terus didedahkan.
Pada Sabtu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan butiran terperinci berkaitan siasatan masih tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan maklumat sensitif dan rahsia.
"Siasatan berkenaan perkara itu memang sudah dijalankan banyak tahun, sekarang saya tak nak umumkan lagi ia berada di peringkat mana dan apakah keputusannya demi menjaga sensitiviti.
"Ramai mempersoalkan seolah-olah kami (SPRM) tidak menjalankan siasatan, banyak kali saya kata SPRM sudah siasat dan dalam peringkat akhir penyiasatan.
Banyak kali saya pernah sebut perkara ini.
"Saya kena jaga sensitiviti berkaitan hal-hal penyiasatan dan juga kerahsiaan kes tersebut, ini kerana ia bukan sahaja melibatkan SPRM bahkan juga agensi lain termasuk Jabatan Peguam Negara," katanya.
Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkaitan pembinaan LCS TLDM itu.
Najib menerusi catatan di laman Facebook mendakwa, PH telah melewatkan dan membekukan sepenuhnya projek LCS pada 2019.
Katanya, projek berkenaan masih berjalan semasa pemerintaan BN dan kapal pertama sepatutnya diserahkan pada 2019.
"Projek ini bukan tidak pernah disiasat.
Ia disiasat oleh jawatankuasa ditubuhkan PH pada tahun 2018.
Boustead juga membuat laporan SPRM pada bulan Disember 2020 untuk menyiasat projek ini,”katanya sebagai reaksi apabila ada pihak yang menunding jari terhadapnya berkaitan kegagalan projek itu menyiapkan LCS.
Hujah Najib mendapat reaksi balas pemimpin PH apabila Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menempelak kenyataannya.
Rafizi turut 'berikrar' akan mendedahkan skandal LCS sepanjang bulan ini demi membuka mata rakyat.
Menurutnya, satu persatu penyelewengan berlaku akan ditunjukkan termasuk syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan didakwa untuk melarikan wang.
"Modus operandi tak ubah macam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dahulu.
"Masaklah Najib (Datuk Seri Najib Razak) kali ni.
"Biar dia jawab bagaimana pertahanan negara jadi lemah semasa dia jadi Perdana Menteri... selama ini dia fitnah kononnya semua orang jual aset negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Berikutan kenyataan Rafizi itu, pastinya ramai sedang menunggu siri pendedahan yang bakal dibuat oleh pemimpin PKR berkenaan.