Najib harap harga makanan turun tidak lama lagi

Iklan
Najib berharap penurunan indeks harga makanan yang dicatatkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB turut membawa kepada penurunan harga makanan di Malaysia tidak lama lagi.

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap penurunan indeks harga makanan yang dicatatkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut membawa kepada penurunan harga makanan di Malaysia tidak lama lagi.

Beliau berkata, indeks harga makanan PBB bagi Julai turun lagi iaitu penurunan empat bulan berturut-turut sejak Mac lalu.

Iklan
Iklan

"Harap ini akan memberi kelegaan kepada tekanan inflasi tempatan dalam bulan mendatang,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau sememangnya akan meneliti indeks harga makanan yang dikeluarkan oleh PBB setiap bulan.

Iklan

"Dari dulu lagi, saya akan meneliti indeks ini setiap bulan dan secara jujur saya agak lega melihat trend kenaikan harga berterusan sejak tahun lepas yang seram telah dipatahkan dan bertukar hala.

"Harap ini akan membawa kepada penurunan harga makanan tidak lama lagi,” ujarnya.

Iklan

Pada Jumaat, FAO melaporkan penanda aras bagi harga komoditi makanan dunia turun ketara pada Julai, dengan harga bijirin dan minyak sayuran utama mencatatkan penurunan peratusan dua angka.

Indeks harga makanan FAO yang memantau komoditi makanan dalam dagangan global, mencatat purata 140.9 mata pada Julai, turun 8.6 peratus dari bulan Jun.