PEMAIN sensasi, Cristiano Ronaldo merayu kepada pengendali Manchester United, Erik ten Hag untuk menurunkannya pada aksi pembuka tirai Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton di Old Trafford malam ini.
Pemain berusia 37 tahun itu memberi isyarat kepada penyokong The Red Devils bahawa dia sanggup bermain pada perlawanan pertama di laman sendiri.
Iklan
Iklan
Menerusi catatan di Instagram kapten Portugal itu turut menyiarkan gambar perlawanan persahabatan menentang Rayo Vallecano hujung minggu lalu dengan kapsyen 'bersedia'.
Era baharu pengendali dari Belanda itu bersama The Reds Devils musim ini terarah kepada masa depan Ronaldo yang mahu meninggalkan kelab sejak awal jendela perpindahan musim panas ini.
Bagaimanapun hasrat kapten Portugal itu mencari pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah menemui jalan buntu apabila tidak ada pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya.
Kedudukan Ronaldo dalam kesebelasan utama Ten Hag juga menjadi teka-teki selepas pemain itu tidak menyertai sesi latihan pramusim akibat urusan peribadi.
Pemenang lima kali Ballon d'Or itu hanya bermain 45 minit pada aksi persahabatan menentang Rayo Vallecano hujung minggu lalu sebelum meninggalkan stadium ketika permainan berbaki 10 minit.