Lagi gajah masuk RPS Kemar

Iklan
Tangkap layar kehadiran seekor gajah liar berkeliaran di RPS Kemar di Gerik, baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca (Gambar dalam : Yusoff)

GERIK - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesan seekor gajah liar berkeliaran di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar di sini.

Kehadiran haiwan itu dikesan selepas seminggu insiden seorang wanita Orang Asli parah diserang gajah ketika mengutip buah durian pada 30 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah jantan berusia 32 hingga 35 tahun itu dikesan Unit Tindakan Gajah (UTG) memasuki kampung terbabit dipercayai untuk mencari makanan.

Beliau bagaimanapun menafikan gajah terbabit merupakan haiwan sama yang menyerang wanita berusia 30 tahun

Iklan

"Tidak, itu gajah lain.

Sekarang ini musim durian di Pos Kemar, kita percaya faktor durian gugur ini menarik gajah datang.

Iklan

"Seramai tujuh kakitangan UTG telah ditempatkan di lokasi berkenaan sejak 27 Julai lalu.

Kita berusaha menghalau haiwan berkenaan untuk masuk semula ke hutan," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Video berdurasi 53 saat memaparkan seekor gajah jantan yang memakai kolar melalui kawasan kampung didakwa berlaku di RPS Kemar sebelum memasuki hutan berhampiran tular di media sosial sejak Jumaat.

Ditanya mengenai kolar berkenaan, Yusoff menjelaskan bahawa ia dipasang bagi mengesan pergerakan haiwan liar itu.

"Kita pasang kolar dengan kerjasama Malaysian Elephant Management Ecology (MEME), penyelidik daripada Universiti Nottingham.

"Menerusi kaedah itu pergerakan gajah dapat diketahui sekali gus membantu kita mencari jalan mengurangkan konflik gajah yang berlaku," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Kerajaan Perak berusaha mencari jalan penyelesaian bagi menangani kejadian gajah menganggu penduduk di RPS Kemar.

Katanya, semua pihak sedia maklum konflik itu berlaku apabila kawasan penempatan penduduk itu berkongsi dengan habitat gajah.