KUANTAN - Sebanyak 18 notis peringatan dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kepada peniaga makanan di daerah ini kerana gagal mencapai tahap minimum piawaian kebersihan yang memuaskan.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, notis itu dikeluarkan bermula 2 hingga 4 Ogos lalu.
"Kita jangkakan kompaun akan dikeluarkan kepada mana-mana kedai yang gagal mematuhi standard kebersihan ditetapkan melalui pemeriksaan hari ini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Norkamawati menjelaskan, pihaknya akan menggunakan peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Kawalan dan Penyeliaan Tempat-Tempat Makan 1983 dalam pelaksanaan tindakan kompaun.
Katanya, selain kompaun, penutupan premis dan pendakwaan di mahkamah turut dilakukan terhadap peniaga makanan yang terlibat.
"Jadi, para peniaga dan pengusaha perlu memastikan gerai dan premis makanan dalam keadaan bersih dalam semua aspek.
"Jika sebaliknya peniaga akan berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan yang tegas,” katanya.