SHAH ALAM - Program Magical Melaka Food & Fruit Fest 2022 bertujuan mempromosikan makanan tradisi dan viral di Melaka sempena penganjuran Magic of The Night (MOTN) 2022.
Tourism Malaysia dalam kenyataan pada Ahad berkata, penganjuran yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu itu merupakan salah satu usaha bagi menarik dan meningkatkan kedatangan pelancong domestik ke Melaka.
Menurutnya, dalam masa yang sama dapat memasarkan hasil keluaran makanan dan produk buah-buahan tempatan terutamanya durian yang menjadi fokus dalam acara ini.
"Program ini diharap dapat merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik dan memberi peluang kepada pengunjung yang bercuti ke Melaka untuk menyaksikan sendiri pelbagai pengisian aktiviti pelancongan dalam MOTN 2022,” katanya.
Ujarnya, melalui acara yang bertempat di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Jalan Kota itu, pengunjung berpeluang mendapatkan 12 jenis makanan dan minuman seperti Cendol Kampung Hulu, Coconut Shake Batu Berendam, Kuih Keria Antarabangsa dan cucur udang di kios jualan yang dibuka dengan kerjasama Melaka Restaurant & Café Owner (MRCO).
Katanya, selain itu promosi produk makanan berasaskan durian turut diketengahkan menerusi pelancaran Festival Durian dan Budaya Antarabangsa Malaysia.
"Pelancaran festival hasil usaha sama Tourism Malaysia dengan syarikat Duricious Sdn Bhd (D’King) ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.
"Menerusi kerjasama tersebut, satu replika durian yang dihasilkan oleh D’King dan dipamerkan di hadapan Galeri Warisan Kota Melaka, telah menerima pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records pada hari ini (Sabtu) sebagai replikasi durian terbesar di Malaysia,” katanya.