TEMERLOH - Setiap kali solat Jumaat, khidmat jurubahasa isyarat, Ahmad Mustaqim Khairuddin, 33, menjadi tumpuan 10 jemaah orang kurang upaya (OKU) pendengaran di Masjid Temerloh Jaya di sini.
Beliau yang juga guru Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Temerloh sejak 2014 mula menabur khidmatnya di masjid tersebut sejak 2020 hingga kini.
Ketika ditemui Sinar Harian, anak kedua dari lima beradik itu melahirkan perasaan gembira dengan tugasnya itu kerana dapat membantu jemaah istimewa memahami isi khutbah yang disampaikan.
"Sebelum itu lagi, saya sudah mula membuat terjemahan bila membawa anak murid solat di masjid kerana merasakan ia lebih bermakna jika mereka dapat memahaminya.
"Jadi apabila pengurusan masjid ingin menggunakan khidmat saya, bagai pucuk dicita, ulam mendatang, saya amat mengalu-alukannya," kata lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, Selangor itu lagi.
Tambahnya, minatnya dalam bidang jurubahasa isyarat mula timbul sejak remaja ketika melihat kakak rakannya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
"Sejak itu, saya menanam minat untuk mempelajari bahasa isyarat dan impian tercapai selepas saya berjaya memasuki IPG di Cheras," katanya.
Ujarnya, sepanjang menabur khidmat di masjid itu, khususnya menterjemahkan Bahasa Arab ke bahasa isyarat pelbagai cabaran telah dihadapinya.
"Cabaran utama ialah istilah baharu, saya perlu bersiap sedia dan peka dengan sebarang perubahan tersebut," jelasnya.
Dalam pada itu, anak kelahiran Terengganu itu juga aktif menyalurkan khidmatnya dalam program lain seperti di kejohanan olahraga melibatkan golongan istimewa tersebut.
"Saya akan menaburkan khidmat di sini selagi diperlukan sekali gus dapat membantu jemaah OKU pendengaran di Masjid Temerloh Jaya," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Temerloh Jaya, Dr Abdullah Ismail memberitahu khidmat tersebut antara usaha pihak masjid membantu golongan tersebut dan berharap ia memberikan manfaat terbaik buat mereka.