KUALA LUMPUR - Seramai 23 individu ditahan dalam serbuan di sebuah premis hiburan di sini yang mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu berusia 21 hingga 54 tahun itu ditahan pada jam 3.30 pagi.
"Kita menahan 16 pengunjung, empat penari wanita dan dua pekerja lelaki warga asing serta seorang lelaki warga tempatan disyaki pengurus premis berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Noor Dellhan berkata, pihaknya turut merampas sebuah pembesar suara, resit perniagaan, empat kad perakam kerja, dua mikrofon, dua alat komunikasi mudah alih, satu set pengadun muzik, sebuah komputer riba, tujuh botol minuman keras dan wang tunai RM540.
"Kesemua individu itu direman dua hari bermula hari ini sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur) 1992, Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) akta yang sama dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan operasi dan pemeriksaan di premis hiburan.
"Kita juga akan membuat pemantauan ke atas aktiviti pub dan kelab malam yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang," tegasnya.