DOA diibaratkan sebagai senjata ampuh orang Islam.
Namun, jika doa seorang muslim itu tidak diterima, adakah ia menunjukkan bahawa amalannya tidak diterima?
Menjawab soalan ini, Syaikh Abdul 'Aziz bin Abdillah bin Baz pernah ditanyakan tentang hal seperti di atas.
Lalu beliau menjawab:"Ada pelbagai faktor yang menyebabkan doa tidak termakbul. Doa tersebut tidak termakbul mungkin kerana buruknya amalan, maksiat dan keburukan yang seseorang lakukan.
"Mungkin juga kerana makan makanan yang haram. Kemungkinan dia berdoa dalam keadaan hati yang lalai dan mungkin kerana sebab lainnya sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW".
Nabi SAW bersabda:"Tidaklah seseorang muslim memanjatkan doa kepada ALLAH selama tidak ada padanya dosa dan memutuskan silaturahim (antara kerabat) melainkan ALLAH akan beri padanya tiga perkara iaitu ALLAH akan segera mengabulkan doanya, ALLAH akan menyimpannya baginya di akhirat kelak dan ALLAH akan menghindarkan darinya keburukan yang seumpamanya". Para sahabat berkata:"Kalau begitu, kami akan perbanyakkan doa". Nabi SAW lantas berkata:"ALLAH nanti yang memperbanyak mengabulkan doa-doa kamu." (Riwayat Ahmad).
Berdasarkan hadis itu, ada banyak sebab kenapa doa kita tidak dimakbulkan.
Ia mungkin disebabkan maksiat yang kita lakukan, hati lalai ketika memanjatkan doa atau memakan makanan yang haram.
Barangkali, doa kita tidak dimakbulkan kerana ALLAH SWT telah memilih sesuatu yang terbaik untuk diri kita dengan menggantikan apa yang kita minta dengan sesuatu yang lebih bermanfaat di syurga dan di akhirat kelak.
Kemungkinan juga, ALLAH sebenarnya menggantikan permintaan kita tadi dengan maslahah lain seperti menghindarkan kita daripada pelbagai keburukan tanpa disedari.
Apa pun, sebagai hamba-Nya, kita perlu terus berdoa kepada Sang Pencipta.
Jangan berputus asa dan berburuk sangka kepada ALLAH. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui apa keperluan kita.
(Sumber: Mohammad Zaki Yahpar)