SHAH ALAM - Kerajaan akan terus menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi dalam pengurusan industri padi serta beras negara agar kekal berdaya saing seiring kemajuan Revolusi Industri Keempat atau IR4.0.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, selaras dengan evolusi yang sedang berlaku di peringkat global mahupun domestik, kerajaan akan terus berusaha melakukan perubahan positif untuk pembangunan industri padi dan beras.
"Antaranya melalui penggunaan Aplikasi Rice Information Management System (RIMS), iaitu satu sistem sokongan keputusan digital yang menggunakan teknologi ‘Internet of Things’, kecerdasan buatan, data raya dan teknologi sensor/satelit untuk memberikan nasihat masa nyata, ramalan serta preskripsi untuk industri penanaman padi.
"Selain itu, program Smart Sawah Berskala Besar (SBB) yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan pihak swasta juga mampu membawa hala tuju baharu bagi industri padi dan beras negara,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ronald turut hadir pada Majlis Perasmian Laman Padi dan Pelancaran Logo SMART SBB, Aplikasi Rice Information Management System (RIMS), Ladang’57 Beras Wangi Horeca serta 3FR SOP Manual di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) pada Ahad.
Dalam pada itu, Ronald berkata, sehingga kini seramai 4,867 pesawah telah terlibat di bawah program SBB merangkumi kawasan penanaman padi seluas 11,278 hektar.
Katanya, sejak diperkenalkan pada Februari 2021, program itu berjaya dilaksanakan di sembilan negeri dengan penglibatan sebanyak 24 syarikat peneraju terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.
"Dari segi prestasi pelaksanaan, program ini terbukti dapat meningkatkan purata hasil padi sehektar.
"Contohnya di Sekinchan, Selangor, kawasan padi seluas lebih 100 hektar telah meningkatkan purata hasil hampir empat kali ganda iaitu daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada lapan hingga 10 tan metrik sehektar.
"Kejayaan program SMART SBB dimanifestasikan dalam penghasilan produk baharu oleh syarikat peneraju yang terlibat,” katanya.
Ujarnya, selaras agenda negara untuk memastikan bekalan makanan terjamin dan mencukupi untuk keperluan penduduk, MAFI telah mengambil langkah proaktif dengan terus memperkasa sekuriti bekalan makanan negara untuk berdepan cabaran di peringkat global mahupun domestik.
"Hasil pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang yang dirangka oleh MAFI, kestabilan bekalan makanan terus kekal stabil.
"Untuk subsektor padi secara khususnya, meskipun negara berhadapan dengan pelbagai cabaran, pengeluaran beras negara juga kekal stabil.
"Namun, MAFI akan terus berusaha untuk meningkat hasil pengeluaran padi negara serta meningkatkan pendapatan pesawah,” jelasnya.
Kata beliau, produk baharu berasaskan variati beras istimewa iaitu Ladang’57 Beras Wangi Horeca merupakan hasil ladang peserta program SMART SBB di Seberang Perak, Perak dan Barat Laut, Selangor yang diselia oleh syarikat peneraju, FGV Holdings Bhd.
"Ia menjadi mercu tanda bahawa program SMART SBB berjaya meningkatkan hasil dan pendapatan taraf hidup pesawah terlibat,” ujarnya.