SHAH ALAM - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mendakwa pemimpin UMNO telah menderhaka kerana sanggup menggadaikan pertahanan perairan negara dalam isu kegagalan perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS).
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, dana yang diperuntukkan itu sepatutnya digunakan untuk pertahanan negara.
"Lebih menjengkelkan ialah dana berbilion itu sepatutnya dibelanjakan untuk pertahanan negara, ada juga pemimpin UMNO yang sanggup gadaikan pertahanan perairan negara ini demi kepentingan peribadi.
"Apa punya manusia yang sanggup buat begini, menderhaka namanya," katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di laman sosial Twitter pada Ahad.
Pada masa sama, Mukhriz turut mempersoalkan apakah Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid menerima 'bahagian' mereka dalam projek terbabit ketika itu.
"Mengecewakan, bukan hanya kapal yang tak siap, walaupun sudah berbilion dibelanja tetapi berkenaan teguran demi teguran yang dibuat oleh Panglima Tentera Laut ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz tidak siapa pun, baik menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid hamidi, mahupun Perdana ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, yang mendengar aduan beliau.
"Adakah mereka juga mendapat bahagian mereka dari wang yang hilang," soalnya.
Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek LCS bernilai RM9 bilion.
Melalui laporan berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.
Laporan PAC turut mendedahkan BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk projek tersebut, menyebabkan syarikat itu menghadapi 'cost overrun' sebanyak RM1.4005 bilion.
Selain itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan BNS juga didapati mengabaikan pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir.