SERDANG - Pihak yang terlibat secara langsung dalam ekosistem pengeluaran dan penjualan minyak masak diminta agar tidak menyorok atau mencatut produk itu berikutan penetapan harga maksimum pada RM34.70 bagi botol lima kilogram yang berkuat kuasa esok (Isnin).
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu pada akhirnya akan merugikan peniaga dan peruncit selain mendatangkan masalah kepada pengguna.
"Jangan kerana harga minyak akan turun, kita mula sorok barang. Ia tidak akan menyelesaikan masalah," katanya kepada pemberita selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini, pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyorok produk itu ketika ia dijual pada harga murah sekali gus mengundang kegusaran bekalan minyak masak menjadi terhad di pasaran.
Annuar turut mengingatkan mereka agar tidak terlibat dalam aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang dan meminta semua pihak mematuhi keputusan kerajaan apabila sesuatu barangan atau komoditi dimasukkan dalam senarai harga maksimum.
Beliau juga berkata, impak positif kerjasama rentas agensi terserlah apabila terdapat pasar raya yang mula menurunkan harga bagi minyak masak botol tidak bersubsidi walaupun penetapan harga siling bagi produk itu berkuat kuasa esok.
"Setakat ini, saya berpuas hati kerana selepas pengumuman harga maksimum untuk minyak masak, belum sampai 8 Ogos ramai sudah turunkan harga lebih rendah daripada RM34.70.
"Semalam saya di Melaka, ayam dijual pada harga RM7.99 sekilogram biarpun harga siling RM9.40. Maknanya kita boleh buat (turunkan harga) tapi perlukan kerjasama semua pihak,” katanya.
Kerajaan sebelum ini memutuskan bahawa harga minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi dalam botol lima kilogram ditetapkan pada RM34.70 yang berkuat kuasa esok dan harga minyak masak akan ditetapkan setiap bulan menerusi pengumuman oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Mengenai MAHA2022, Annuar berkata, tumpuan beliau adalah terhadap aspek teknologi dan aplikasi digital dalam bidang pertanian yang memainkan peranan penting sebagai langkah menjamin sekuriti makanan bagi tempoh jangka panjang.
Katanya, kerajaan akan terus menggalakkan petani agar mengaplikasi elemen teknologi dalam bidang pertanian memandangkan digitalisasi semakin dijadikan keutamaan dalam semua aspek. - Bernama