Penduduk Titi Hayun usah bimbang implikasi pembangunan

Iklan
Syed Yussof

YAN - Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal berhampiran kawasan rekreasi Titi Hayun agar tidak bimbang tentang implikasi pembangunan yang akan dijalankan di kawasan terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Syed Yussof Syed Othman berkata, pihaknya mengambil maklum kebimbangan orang ramai terhadap kerja pembersihan dilaksanakan di tanah milik PKNK berhampiran kawasan rekreasi seperti mana satu artikel di media tempatan bertajuk 'Bimbang hutan di Titi Hayun ditarah' pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak perbadanan telah mengeluarkan surat arahan menghentikan kerja serta-merta kepada penyewa yang terlibat dengan operasi kerja pembersihan di atas lot berkaitan pada 24 Julai lepas.

"Pihak kontraktor juga telah diarahkan untuk membersihkan kawasan yang terbabit bagi mengelak keterjejasan yang lebih teruk, selain bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang telah berlaku akibat daripada kerja-kerja pembersihan yang telah dijalankan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, Syed Yussof menjelaskan, tapak lokasi dinyatakan itu adalah dusun milik PKNK sepenuhnya dan dalam perancangan untuk dibangunkan semula kepada sebuah taman agrotourism.

Katanya, taman agrotourism ini akan dikenali sebagai Taman Integrasi Moden Agro Bioteknologi yang terdiri daripada dusun buah-buahan, pusat ternakan lebah kelulut dan beberapa aktiviti lain berasaskan agrotourism.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan kepatuhan pada undang-undang dan piawaian alam sekitar lebih-lebih lagi apabila membabitkan isu keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat

"Sehubungan itu, orang ramai khususnya mereka yang tinggal berhampiran kawasan rekreasi Titi Hayun, dinasihatkan agar tidak bimbang mengenai implikasi pembangunan yang akan dijalankan di kawasan terbabit," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan PKNK akan memastikan kepatuhan pada undang-undang dan peraturan pada tahap yang tertinggi oleh kontraktor dilantik dalam melaksanakan kerja-kerja berkenaan.