PHNOM PENH - Kemboja akan menghantar pulang pesakit cacar monyet yang telah pulih, Osmond Chihazirim Nzerem ke negara asal Nigeria serta melarangnya memasuki semula negara itu selama tiga tahun, kata seorang pegawai jabatan imigresen pada Ahad.
Lelaki Nigeria berusia 27 tahun itu, sebelum ini melarikan diri dari negara jiran Thailand meskipun mengetahui hasil keputusan ujian cacar monyetnya positif, dan ditahan pihak berkuasa Kemboja di ibu negara Phnom Penh pada 23 Julai.
Dia kemudian dihantar ke Hospital Persahabatan Khmer-Soviet untuk menerima rawatan lanjut.
Lelaki itu telah pulih daripada wabak berkenaan dan dibenarkan keluar dari hospital pada Sabtu.
"Jabatan Am Imigresen telah memutuskan untuk menghantar pulang lelaki Nigeria itu dan melarangnya memasuki semula Kemboja selama tiga tahun," kata timbalan ketua pengarah dan jurucakap Jabatan Imigresen, Keo Vanthan kepada Xinhua.
Lelaki Nigeria itu merupakan kes cacar monyet yang pertama dan satu-satunya kes import di negara Asia Tenggara itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 23 Julai mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam dan kebimbangan antarabangsa (PHEIC). - Bernama