RANAU - Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika sedang mendaki Gunung Kinabalu pada Ahad.
Dalam kejadian pada jam 1.23 petang itu, lelaki warga tempatan berusia 51 tahun terbabit dilaporkan tidak sedarkan diri di kilometer 3.2 oleh malim gunung yang bersamanya.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pusat operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) yang menerima laporan berhubung kejadian itu segera menghantar sepasukan anggota ke lokasi.
Katanya, operasi terbabit bagi membantu menurunkan mangsa yang dilaporkan tidak sedarkan diri.
"Mangsa diberi bantuan pernafasan sebagai tindakan awal pasukan Mosar dan anggota Taman-Taman Sabah serta malim gunung sebelum dia dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung.
"Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, usaha membawa turun mangsa mengambil masa hampir satu jam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.