PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mara ke final acara badminton individu Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila menumpaskan pemain India, Kidambi Srikanth, 13-21 21-19 21-10 di Pusat Pameran Nasional (NEC), Birmingham, sebentar tadi.
Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan Tze Yong mengulangi kemenangannya pada acara berpasukan campuran sebelum ini apabila mengenepikan cabaran daripada pemain ranking ke-13 dunia itu.
Iklan
Iklan
Aksi set pertama nyata tidak menyebelahi Tze Yong yang dilihat banyak melakukan kesilapan sebelum tewas 13-21.
Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu dilihat mempamerkan kebangkitan pada set kedua bagi menewaskan Kidambi 21-19 bagi mengheret permainan ke set penentuan.
Pada set penentuan, Tze Yong jelas berada pada kelas tersendiri apabila dilihat mendominasi sebahagian besar permainan bagi memerangkap Kidambi sebelum menang 21-10 bagi mengesahkan slot ke final edisi kali ini.