LANGKAH kerajaan meluluskan sebanyak 50 perjawatan baharu untuk memantapkan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) Polis Diraja Malaysia yang baru ditubuhkan memberi dimensi baharu kepada usaha mengekang aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan hidupan liar di negara ini.
Selain mengawal kegiatan pemburu haram, ia juga diharap dapat membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melindungi spesies terancam dengan lebih berkesan.
Sejak penubuhan biro berkenaan, operasi penguatkuasaan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) melibatkan pelbagai agensi berjaya merekodkan 60 kes dan 97 tangkapan membabitkan rampasan bernilai lebih RM3.8 juta bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding 30 kes dan 29 tangkapan dengan nilai rampasan RM537,490 bagi tempoh masa sama tahun lalu.
Malah penubuhan WCB sendiri seharusnya membuka mata banyak pihak bahawa jenayah alam sekitar kini sama kesannya dengan jenayah konvensional yang lain.
Ancaman penyeludupan hidupan liar sememangnya memerlukan tindakan bersepadu agensi penguatkuasaan di samping pertubuhan pemuliharaan. Tanpa tindakan serius, harimau belang yang kini tinggal tidak sampai 200 ekor akan semakin kecil bilangannya dan tidak mustahil mengalami nasib seperti badak Sumatera yang telah pupus. Beruang matahari dan gajah pigmi Borneo juga dibimbangi menerima nasib yang sama, begitu juga spesies terancam yang lain.
Walaupun sudah banyak tangkapan dibuat, kegiatan penyeludupan terus meningkat. Ini kerana dalang sebenar di sebalik penyeludupan dan pemburuan haram masih bebas di luar sana.
Setakat ini, tangkapan dan hukuman biasanya lebih banyak melibatkan pembawa dan penyeludup sedangkan mereka hanya memainkan peranan kecil dalam rangkaian jenayah ini.
Justeru, penglibatan WCB amat penting khususnya dalam mengesan pengubahan wang haram sehingga tertangkapnya dalang sindiket terbabit. WCB boleh menggunakan kepakaran yang ada dalam pasukan polis bagi membantu Perhilitan menumpaskan sindiket yang mempunyai rangkaian penyeludupan hidupan liar termasuk menyita akaun-akaun bank milik sindiket.
Kombinasi kepakaran yang berbeza dalam kalangan agensi penguat kuasa sangat diperlukan dalam memastikan penjenayah hidupan liar tidak terlepas.