KOTA BELUD - [DIKEMAS KINI] Dua remaja dan lima kanak-kanak yang dikhuatiri hilang sejak petang Ahad, ditemui dalam keadaan lemah di kawasan hutan kira-kira empat kilometer dari Kampung Kebayau, di sini.
Kesemua mereka termasuk empat beradik, Freddy Kerinsuk, 15; Arni, 13; Alistar, 9, dan adik mereka Royce, 3, bersama Mecklorn Datine, 12; Elson Evan Lie Willie, 11 dan Elcy Jackter, 5, ditemui kira-kira jam 7.30 pagi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Lery Joba Midih, kesemua mereka ditemui penduduk kampung yang melakukan pencarian sejak jam 5.30 pagi di sekitar kampung berkenaan.
"Kesemua mereka termasuk tiga beradik orang kurang upaya (OKU) sudah ditemui pagi tadi di kawasan hutan kira-kira empat kilometer dari kampung dan semua dalam keadaan tidak bermaya sebab mereka tidak makan sejak semalam terutama Elcy yang tidak dapat berjalan kerana terlalu lemah.
"Semua dalam keadaan selamat termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang masih menyusu turut bersama mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Difahamkan, mereka dikatakan tidak dapat pulang ke rumah selepas pergi ke satu lokasi tapak pembinaan jalan yang terletak berhampiran sebuah kampung lain.
"Mereka memaklumkan pergi melihat projek jalan yang sedang dalam pembinaan dengan menggunakan jentera yang terletak tidak jauh dari Kampung Kubang.
"Ketika dalam perjalanan berpatah balik, keadaan semakin gelap menyebabkan mereka ketakutan dan mengambil keputusan untuk bermalam di hutan berhampiran sebuah sungai," katanya.
Menurutnya, ketika ini, pasukan bomba masih memeriksa keadaan kesemua mangsa dan belum dimaklumkan sama ada dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut atau dibawa pulang terus ke rumah masing-masing.
"Semua ibu bapa lega dengan penemuan mereka selepas hilang sejak semalam," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun ketika dihubungi mengesahkan penemuan kesemua mangsa terbabit.