KUALA TERENGGANU - Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Terengganu bersedia bekerjasama dengan pasukan Rasuah Busters dalam menyebarkan maklumat tentang keburukan rasuah kepada segenap lapisan masyarakat secara lebih efektif.
Pengarahnya, Sait Yaman berkata, kegiatan rasuah boleh dibanteras sekiranya wujud sokongan dan gabungan dari pelbagai pihak yang berfungsi sebagai ejen menyedarkan orang ramai betapa bahayanya amalan negatif tersebut.
"Saya melihat masalah rasuah dan keruntuhan integriti memerlukan kerjasama dari pelbagai agensi untuk dibanteras atau sekurang-kurangnya menurunkan kedudukan dari ranking rasuah di dunia.
"Jabatan Penerangan akan turut sama membantu pasukan Rasuah Busters supaya penjelasan mengenai amalan tidak bermoral ini dapat disampaikan secara jelas dan berkesan sehingga ke akar umbi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan pasukan Rasuah Busters sempena Konvoi #RasuahBusters ke Terengganu di Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, di sini pada Ahad.
Pada kunjungan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin turut memberi penerangan tentang jelajah Rasuah Busters dalam misi membangunkan #NilaiMoralKarakterBangsa serta menolak budaya jijik rasuah.
Mengulas lanjut, Sait turut memuji gerakan membina masyarakat Malaysia tanpa rasuah yang dimainkan oleh Rasuah Busters dalam usaha mewujudkan negara harmoni dan berintegriti tinggi.
"Rasuah masih lagi menjadi penyakit atau musuh dalam negara. Jadi saya rasa perlu ada satu gerakan seperti Rasuah Busters untuk memulakan kesedaran anti rasuah terutama melibatkan generasi muda," katanya.
Beliau berkata, generasi muda seperti belia dan pelajar institusi pengajian tinggi boleh bertindak sebagai salah satu ejen perubahan kerana golongan tersebut mempunyai perspektif serta pemikiran berbeza.
Oleh itu katanya, JaPen akan turut mengambil peranan dengan memberi tumpuan kepada penyebaran kempen anti rasuah sebagai aktiviti sampingan semasa mengendalikan program jabatan tersebut.
"Kita boleh menggunakan platform media sosial sebagai salah satu instrumen untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat selaras dengan perkembangan terkini dunia digital," katanya.