KUALA LUMPUR - Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia tahun ini, ikon menarik terutamanya bangunan dan jambatan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, Putrajaya akan disinari limpahan cahaya lampu yang bertemakan empat warna Jalur Gemilang hingga 16 September depan.
Pengarah Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Norzita Abdul Razak dalam kenyataan berkata program Pencahayaan Malam PPj yang bermula sejak 1 Ogos lepas memaparkan semangat perayaan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Beliau berkata, pencahayaan di bangunan kerajaan dan komersial itu akan berlangsung dari 7 malam hingga 12 tengah malam setiap hari, termasuk hujung minggu dan cuti umum.
"Pencahayaan fasad bangunan di Putrajaya ini melibatkan tiga kategori iaitu lampu LED, pencahayaan warm white (lampu kuning) dan pencahayaan dalaman,” katanya.
Menurut Norzita, lampu LED berkonsepkan Jalur Gemilang dinyalakan di Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Hotel Zenith, Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, dan pancuran air di Presint 1.
Pencahayaan lampu kuning pada fasad bangunan pula melibatkan semua bangunan kerajaan, komersial dan struktur di Putrajaya, katanya.
Beliau berkata, pencahayaan dalaman (internal lighting) berkonsepkan ‘lantern’ melibatkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
Mengenai pemasangan Jalur Gemilang, Norzita berkata, PPj sudah mula mamasang sebanyak 4,400 Jalur Gemilang di tiang-tiang lampu, taman-taman awam serta premis milik PPj seperti kompleks kejiranan, medan selera, dewan dan perpustakaan sejak 15 Julai.
Menurut Norzita, sebanyak 11,200 Jalur Gemilang telah diserahkan kepada enam sub zon Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP Putrajaya), 70 persatuan penduduk dan 27 sekolah di Putrajaya, pada bulan lepas.
Pada 30 Julai, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 dengan menyertai 15,000 Keluarga Malaysia dalam program"Berjalan Teguh Bersama” sejauh 2.7 kilometer di Putrajaya.
Sambutan Hari Kebangsaan secara fizikal pada 31 Ogos ini yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka ibu negara, pastinya dinanti-nantikan ramai selepas dua tahun tidak diadakan ekoran pandemik Covid-19. - Bernama