IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kini sedang berada di Jepun dalam lawatan kerja sempena Sambutan Ulang tahun ke-30 Bandaraya Berkembar Ipoh-Fukuoka.
Lawatan kerja selama tiga hari bermula 1 April lalu itu merupakan kunjungan balas atas kehadiran Datuk Bandar Fukuoka, Soichiro Takashima ke Perak pada Januari lalu yang melawat Bandar raya Ipoh dan Bandar Taiping.
Majlis Bandar raya Ipoh (MBI) dalam satu kenyataan kepada media berkata, lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan dan menimba pengalaman secara lebih berkesan melalui perkongsian amalan terbaik yang dilaksanakan oleh pengurusan kedua-dua bandar raya itu.
Selain daripada itu, lawatan terbabit turut mencari peluang pelaburan dalam aspek perdagangan untuk membantu meningkatkan ekonomi negeri serta menimba pengetahuan dalam pelaksanaan teknologi hijau dan bandar selamat bagi memelihara alam sekitar.
"Hubungan bandar raya berkembar antara MBI dan Fukuoka ini telah terjalin sejak 21 Mac, 1989. Tujuan utama jalinan ini diwujudkan adalah untuk memperkukuhkan dan memajukan perkongsian serta kerjasama antara kedua-dua bandar raya tersebut.
"Perhubungan ini juga dapat mempromosikan persefahaman dan persahabatan serta memperluaskan lagi peluang dalam bidang ekonomi, perdagangan, sains dan teknologi, sukan, kesihatan dan pendidikan," kata kenyataan tersebut, hari ini.
Seramai 26 pegawai kerajaan negeri dan MBI menyertai delegasi lawatan yang diketuai Ahmad Faizal.
Antara yang turut sama dalam rombongan itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Mohd Ariff Yeop Ishak; Pengarah Kanan Pentadbiran dan Kewangan MBI, Saidatul Akma Jamaluddin, Ahli-Ahli Majlis MBI, ketua- jabatan MBI serta pegawai-pegawai kerajaan negeri.
Dalam kunjungan tersebut juga, Ahmad Faizai turut bertemu dengan Takasima di Fukuoka City Hall bagi membincangkan pelbagai aspek terutama bagi mempertingkat hubungan dua hala di antara kerajaan Perak dengan bandar raya itu.
Dalam pada itu, sempena kunjungan itu juga Ahmad Faizal bersama delegasi diberikan taklimat mengenai Fukuoka 100 iaitu model komprehensif untuk memastikan golongan warga emas dapat terus hidup secara sihat dan mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan serta komuniti setempat di Jepun.
Kemuncaknya, delegasi Perak telah diraikan dalam Jamuan Makan Malam bagi meraikan Sambutan Ulang tahun ke-30 Bandaraya Berkembar Ipoh-Fukuoka.
Pada majlis itu turut diadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Bandaraya Ipoh dan Bandaraya Fukuoka dari aspek penjagaan dan selenggaraan Taman Jepun di Ipoh serta Taman Ipoh di Fukuoka selain mengadakan program pertukaran pelajar di peringkat pusat pengajian tinggi serta pertukaran pegawai secara lebih sistematik dalam jangka masa terdekat dalam pengurusan perkhidmatan perbandaran.