KEGAGALAN para pemain Leicester City mempertahankan kelebihan dua gol ternyata mengecewakan pengurusnya, Brendan Rodgers yang terpaksa berpuas hati terikat 2-2 dengan Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Rodgers bagai hilang kata-kata kerana mereka beraksi dengan baik lebih sejam perlawanan sebelum pasukan pelawat menghasilkan gol pertama.
"Berasa kecewa kerana gagal memenangi perlawanan, kami bermain dengan baik selama 65 minit.
"Pada mulanya ia menjadi seperti apa yang kami mahu, tetapi kemudian kami kehilangan terlalu banyak bola dan memberikan bola terlalu mudah.
"Ia adalah perlawanan pertama musim ini dan terdapat sedikit keletihan. Saya fikir apa yang berlaku ialah apabila mereka sedikit letih, membuatkan pemain menderita secara teknikal.
"Mereka adalah lawan yang sukar. Musim lalu mereka telah menunjukkan adalah pasukan yang berbahaya untuk ditentang," ujar Rodgers.
Biarpun beraksi di laman lawan, Stadium King Power pemain gantian, Josh Dasilva tidak 'kekok' untuk menjaringkan gol penyamaan bagi memberikan satu mata bernilai buat Brentford.
Dasilva menghasilkan jaringan berkualiti menerusi rembatan lencong menuju ke bucu gawang ketika perlawanan berbaki empat minit bagi mengecewakan pasukan tuan rumah untuk meraih tiga mata berharga.
Leicester terlebih dahulu di depan menerusi Timothy Castagne dan Kiernan Dewsbury Hall yang meledak gol pada babak pertama perlawanan, bagaimanapun Ivan Toney merapatkan jurang bagi meningkatkan semula semangat Brentford.
Kekalahan ini adalah kali pertama sejak 2003 Leicester gagal untuk memenangi aksi EPL di laman sendiri selepas mendahului dua gol.