Permohonan injunksi interim Zahid terhadap Muhyiddin ditolak

Iklan
Gambar dari kiri: Ahmad Zahid, Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan perintah injunksi interim bagi menghalang Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan bekas timbalan perdana menteri itu meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu melalui prosiding dalam talian.

Iklan
Iklan

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi media berkata, hakim menolak permohonan atas alasan isu yang dibangkitkan seperti sama ada kenyataan Muhyiddin (defendan) berunsur fitnah atau tidak mesti diputuskan dalam perbicaraan.

"Kes itu kini diteruskan untuk perbicaraan. Mahkamah menetapkan 3 Oktober untuk pengurusan kes seterusnya,” katanya.

Iklan

Mahkamah juga memberikan award kos RM5,000 kepada Muhyiddin dan ini disahkan peguamnya Rosli Dahlan.

Pada 4 April lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon injunksi ex-parte (sebelah pihak) supaya Muhyiddin atau wakilnya menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.

Iklan

Ahmad Zahid juga memohon perintah injunksi interim bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil"Perikatan Nasional”, YouTube Astro AWANI dan KiniTV.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahmad Zahid, 69, berkata Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb lepas.

Beliau mendakwa pada hari yang sama, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis tersebut telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro AWANI yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular iaitu Astro AWANI.

Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau telah menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

Beliau berkata, ia juga membawa maksud bahawa beliau bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

Ahmad Zahid mendakwa kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya.

Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama