SHAH ALAM - Pengarah Strategik Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menempelak kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menafikan penglibatan dirinya dalam isu kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, Ahmad Zahid tidak mahu dirinya dikaitkan dengan skandal LCS namun laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menunjukkan Letter of Intent (LOI) projek LCS diberi pada 15 Oktober 2010 dan Letter of Award (LOA) diberi pada 16 Disember 2011.
"Zahid merupakan Menteri Pertahanan dari 10 April 2009 hingga 15 Mei 2013.
Ini bermaksud sewaktu LOI dan LOA bagi LCS dikeluarkan, beliau adalah Menteri Pertahanan dan seharusnya perkara tersebut dalam pengetahuannya.
"Masalah kelewatan ada kaitan dengan keseluruhan proses perolehan.
"Bekas Panglima Tentera Laut menghantar 10 surat teguran tetapi semua pimpinan utama termasuk Ahmad Zahid, Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) tidak endah teguran,” katanya menerusi catatan di laman Facebook pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tidak wajar menuding kepadanya berkait isu kegagalan perolehan LCS.
Ahmad Zahid berkata, beliau bukan Menteri Pertahanan ketika projek itu diberikan, sebaliknya memegang portfolio berkenaan dalam tempoh April 2009 hingga Mei 2013.
Fahmi turut mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang seakan tidak mahu bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.
"Kenapa Zahid masih tak nak dikaitkan dengan skandal LCS ini?.
RM6 bilion hangus, satu kapal tak sampai.
Hebat Barisan Nasional (BN),” katanya.