SHAH ALAM - Generasi muda perlu didedahkan tentang rasuah sejak awal bagi mengelakkan diri mereka mudah terjerumus dengan aktiviti salah laku.
Pengerusi Persatuan Darul Fitrah Malaysia (PDFM) Terengganu, Norhana Ng Abdullah berkata, generasi muda masa kini mudah terpengaruh dengan gaya hidup barat hingga sanggup lakukan apa sahaja bagi memenuhi kehendak mereka.
"Isu rasuah sangat penting untuk diberi penekanan sebab generasi muda masa kini mudah terpengaruh dengan budaya barat yang memberi gambaran kehidupan mewah di usia muda.
"Bagi menjalani hidup mewah, mereka perlu ada pendapatan, tetapi jika mereka tidak berpegang teguh kepada ajaran agama dan akhlak, mereka akan buat apa sahaja untuk untuk dapatkan duit supaya tunjuk kepada rakan-rakan," katanya dalam program Kafe On The Go Rasuah Busters bertajuk 'Hijrah Untuk Merdeka' yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Isnin.
Norhana Ng berkata, selain isu rasuah, penekanan terhadap ajaran Islam perlu diterapkan bagi memastikan asas agama itu digunakan sebaiknya dalam apa juga situasi.
"Kita kena tekankan, tanpa rasuah kehidupan mereka lebih berkat selain pendapatan yang diperolehi halal.
"Kalau kita tengok orang muda boleh pergi restoran dan berbelanja tempat mahal, macam mana mereka boleh dapat duit dan mampu? Itu yang kita risau. Apa akan terjadi kalau mereka sanggup buat perkara tidak betul. Ini pentingnya pegangan agama," ujarnya.