SELEPAS mencipta sensasi pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, jaguh angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin mula memasang impian besar pada temasya Sukan Asia ke-19 tahun hadapan.
Badang negara itu mempunyai misi serampang dua mata iaitu merangkul pingat emas untuk menjadi atlet angkat berat pertama negara menaiki podium dalam sejarah penganjuran Sukan Asia.
Kejayaan itu katanya, akan membantu beliau dalam memburu mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus mencapai cita-citanya membuat penampilan pada temasya sukan berprestij itu.
"Misi utama untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Namun saya perlu memastikan angkatan bebanan di Sukan Asia terbaik untuk buru medal sebab belum pernah ada atlet angkat berat (Malaysia) menang medal sukan itu.
"Kalau mahu pergi Olimpik saya perlu menyertai sekurang-kurangnya empat kejohanan tetapi markah mesti sempurna. Salah satu medan memburu mata ialah di Sukan Asia, jadi saya mesti memberikan yang terbaik di sana," katanya kepada media di Kuala Lumpur.
Bagi menggapai misi tersebut, atlet berusia 28 tahun itu mengakui bakal berdepan saingan hebat dari atlet seperti China, Indonesia dan Vietnam.
Aznil juga memberitahu, Kejohanan Dunia di Colombia pada Disember depan adalah kejohanan terdekat untuk beliau menguji ketahanan mental dan fizikal dalam mempersembahkan aksi terbaik.
Beliau berkata, selepas memenangi emas pada Sukan Komanwel Birmingham, beliau kembali meneruskan latihan bagi memperbaiki kelemahannya.
"Saya akan menyertai kejohanan di Colombia untuk kutip mata. Saya yakin dengan strategi yang ditetapkan jurulatih Yon Haryono sebab lepas menang emas di Birmingham saya terus berlatih tanpa henti," ujarnya.
Atlet kelahiran Kedah itu mencipta sensasi selepas mengungguli saingan kategori 61 kilogram (kg) lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 285 kg (snatch 127kg, clean & jerk 158kg) sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan.
Kejayaan tersebut membuktikan kehebatan beliau apabila mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia. - Bernama