KOTA BHARU - Dua lelaki warga tempatan berusia 39 dan 41 tahun ditahan kerana disyaki menyeleweng kira-kira 30,000 liter minyak diesel menggunakan lori tangki minyak sawit di Kuala Krai pada pukul 7 malam, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, kedua-dua suspek ditahan menerusi operasi bersepadu mencegah ketirisan barang kawalan bersama Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, setelah gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan ke atas barang kawalan diesel tersebut.
"Nilai rampasan barang kawalan minyak diesel RM64,500, manakala nilai rampasan kenderaan iaitu lori jenama Mercedes Benz berjumlah RM400,000.
"Suspek ditahan reman selama empat hari dan siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Aswadi berkata, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan lori mengangkut minyak sawit yang diubah suai untuk menyeleweng bahan api diesel bertujuan mengaburi pihak berkuasa dan mengelak aktiviti haram tersebut dikesan.
"Penangkapan ini hasil maklumat risikan pasukan operasi KPDNHEP bersama polis dengan mengesan pergerakan sebuah lori tangki minyak sawit dalam keadaan mencurigakan di jalan Kota Bharu-Gua Musang sebelum bertindak menahan lori tersebut di Kuala Krai."Hasil pemeriksaan juga mendapati lori tangki minyak sawit ini membawa sejumlah diesel yang disyaki bertujuan untuk diselewengkan,” katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati bekalan diesel berkenaan diperoleh secara belian di stesen-stesen minyak sekitar Kelantan dan Terengganu, manakala pemeriksaan terhadap lori tersebut mendapati ia telah diubah suai di bahagian tangki belakang. - Bernama