Terengganu tuntut RM1.65b daripada Pusat

Iklan
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu sedang dalam berusaha menuntut hutang berjumlah RM1.651 bilion daripada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah itu meliputi hutang kerajaan pusat menerusi Dana Khas Persekutuan (DKKP) 2019 dan pembinaan Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Iklan
Iklan

"Berdasarkan angka yang dianggarkan sebanyak RM1.651 bilion yang merupakan bayaran balik Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) 2019 sebanyak RM220 juta dan bayaran balik pembinaan Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2) sebanyak RM1.431 juta.

"Kita sedang berusaha untuk mendapatkan penjelasan mengenai bayaran semula hutang ini daripada kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri,” katanya.

Iklan

Ahmad Samsuri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pemotongan 25 peratus daripada bayaran Wang Tunai Petroleum (WTP) kepada kerajaan Terengganu dalam sesi soal jawab di persidangan DUN hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan Terengganu berharap menerima baki bayaran hutang projek perumahan berjumlah RM440 juta daripada Kerajaan Pusat dalam tempoh terdekat.

Iklan

Katanya, jumlah itu adalah baki daripada hutang RM2.2 bilion yang perlu dibayar sebelum ini ketika kepimpinan Kerajaan BN yang telah menerima bayaran sebanyak RM1.760 bilion.

Katanya, kaedah pembayarannya tunggakan itu telah dipersetujui secara ansuran dengan menetapkan bayaran berjumlah RM220 juta pada Januari setiap tahun.

"Berdasarkan rekod, bayaran telah dibuat sebanyak lapan kali dan penerimaan bayaran terakhir adalah Januari tahun lalu, manakala baki bayaran RM440 juta yang sepatutnya dibayar RM220 juta pada Januari tahun ini dan RM220 juta lagi pada tahun depan masih belum diterima,” katanya pada sidang media selepas sesi soal jawab di persidangan DUN hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya ada menerima surat penangguhan bayaran balik daripada Kementerian Kewangan, namun tidak dinyatakan tempoh penangguhan dan tarikh bayaran hutang akan dilangsaikan.

"Jadi, kita akan hantar surat rayuan supaya mempercepatkan proses pembayaran supaya segala projek perumahan yang dirancang berjalan lancar.

"Pada masa sama, kerajaan negeri akan turut merayu pembayaran balik baki hutang projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang dilaksanakan kerajaan terdahulu berjumlah RM1.651 bilion.

"Jumlah tersebut merupakan pendahuluan yang diberi oleh kerajaan negeri dan sepatutnya dibayar semula mengikut kaedah tertentu,” katanya.