TELUK BAHANG - Lima lelaki nyaris maut apabila kereta yang dinaiki terjunam ke gaung sedalam 30 meter berhampiran Titi Kerawang di sini petang Isnin.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang, Mass Rafiuddin Mass Ariffin berkata, dalam kejadian pada jam 3 petang itu, kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 21 tahun yang hanya mengalami cedera ringan berjaya diselamatkan setelah bomba tiba di lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 petang lalu bergegas ke lokasi kejadian. Apabila tiba di tempat kejadian, kita mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM.
"Kereta itu dipercayai terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung pada kedalaman 30 meter. Terdapat lima orang mangsa lelaki dalam kenderaan tersebut namun mereka hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, pasukan bomba membuat 'size up' di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota dengan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas 'rescue tool'.
"Kesemua mangsa berjaya dinaikkan ke kawasan yang selamat dan diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut," katanya. Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.44 petang.
Artikel Berkaitan