KOTA BHARU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar RM26,200 kepada 47 penganggur di Kelantan yang sedang giat mencari pekerjaan setakat tahun ini.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, jumlah pembayaran berkenaan adalah daripada keseluruhan 359 permohonan yang diterima melalui Program Sistem Insurans Pekerjaan Elaun Mencari Pekerjaan (SIP EMP).
Menurutnya, kesemua mereka bukan pencarum Perkeso sebaliknya adalah individu menganggur yang menghadiri sesi temuduga sekurang-kurangnya tiga kali termasuk graduan, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.
"Bermula 1 Januari lalu, sebanyak 359 permohonan diterima dan 47 daripadanya diluluskan dengan pembayaran keseluruhan berjumlah RM26,200 dibuat oleh Perkeso.
"Mereka yang layak memohon bantuan itu adalah individu yang belum berdaftar atau tidak aktif mencarum dengan Perkeso selepas 1 Jun 2021 serta berusia antara 18 tahun sehingga 60 tahun pada tarikh permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa penyerahan cek Faedah Pengurusan Jenazahbernilai RM2,000 kepada keluarga mangsa kemalangan, Allahyarham Yusni Abd Hamid di Kampung Gong Kala di sini pada Isnin.
Menurut Nora, permohonan SIP EMP masih dibuka sehingga 31 Disember ini bagi memberi bantuan kewangan kepada individu terkesan pandemik Covid-19 untuk kelangsungan hidup semasa mencari pekerjaan baharu.
"Permohonan SIP EMP yang diluluskan layak menerima Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sebanyak RM300 sebulan untuk tempoh tiga bulan dan bayaran Elaun Persediaan Bekerja (EPB) berjumlah RM400 sekiranya pemohon berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh empat bulan daripada tarikh permohonan.
"Pemohon juga mestilah individu yang tidak menerima faedah di bawah Akta 800 atau mana-mana bantuan lain,” katanya.
Katanya, pemohon perlu mengemukakan bukti hadir tiga kali temu duga dalam tempoh EMP serta pengemaskinian aktiviti temu duga di Portal MyfutureJobs.
"Permohonan individu yang layak boleh dilakukan dengan memuat turun aplikasi Prihatin Perkeso.
"Permohonan juga boleh dikemukakan melalui laman sesawang https://matrix.perkeso.gov.my,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nora turut menggalakkan majikan memanfaatkan Insentif Penggajian Pekerja (Jamin Kerja) yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan 2022.
"Program Jamin Kerja sepatutnya tamat 30 Jun lalu tetapi dilanjutkan kepada 31 Disember tahun ini.
"Pengambilan pekerja perlu memberi fokus kepada golongan kurang upaya (OKU), wanita, individu hilang pekerjaan, bekas banduan dan pekerja dalam sektor pelancongan,” katanya.