[DIKEMAS KINI] IMPIAN pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong untuk melabuh tirai acara badminton individu Sukan Komanwel Birmingham 2022 dengan kilauan emas tidak kesampaian.
Pada aksi penentuan pingat emas selama 81 minit di Pusat Pameran Nasional (NEC), Birmingham pada Isnin, Ng Tze Yong akur kehebatan bintang India, Lakshya Sen dalam pertarungan tiga set.
Bagaimanapun Tze Yong yang tampil dengan status pemain nombor 42 dunia, bermula garang apabila memenangi perlawanan pertama 21-19.
Pada set kedua, Lakshya Sen yang berada di ranking ke-10 dunia kembali memberi saingan dengan memanfaatkan beberapa kesilapan mudah Tze Yong untuk menang 21-9.
Di set penentuan, kedua-dua pemain saling mengejar mata sebelum Lakshya Sen menggunakan pengalaman lebih agresif untuk menoktahkan cabaran Tze Yong dengan kemenangan 16-21.
Untuk rekod, dalam aksi separuh akhir sebelum ini Tze Yong menundukkan, Srikanth Kidambi dari India, 13-21, 21-19, 21-10, manakala Lakshya Sen pula mengatasi bintang Singapura, Teh Jia Heng 10-21, 21-18, 16-21.
Ini merupakan pingat kedua disumbangkan Tze Yong di Birmingham 2022 selepas membantu pasukan negara meraih emas acara berpasukan campuran.
Sementara itu, Tze Yong mengakui dia berpuas hati dengan permainannya sepanjang Birmingham 2022.
"Untuk kejuaraan seterusnya saya perlu berusaha memperbaiki lagi kelemahan yang ada. Saya rasa setiap pemain akan berdepan dengan prestasi turun naik masing-masing. Di Birmingham 2022 kali ini saya sudah memberikan aksi terbaik,” katanya.