'Sambung belajar mahu ubah nasib keluarga'

Iklan
Pelajar gembira dapat menyambung pengajian di UniSZA dengan pendaftaran kemasukan pelajar baharu fiadakan pada Isnin. Gambar kecil: Siti Khalijah

KUALA NERUS -"Saya ambil keputusan sambung belajar walaupun sudah bekerja separuh masa kerana mahu ubah nasib keluarga ke arah lebih baik," kata Siti Khalijah Abdullah, 18, pelajar Diploma Teknologi Pembuatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurut Siti Khalijah yang berasal dari Pahang, pada awalnya dia tidak berhasrat untuk menyambung pengajian kerana sudah ada sumber kewangan hasil bekerja separuh masa namun mengubah keputusan demi masa depan lebih cerah.

Iklan
Iklan

Anak sulung dari lima beradik itu berkata, dia akhirnya gembira dan bersyukur dapat membanggakan keluarga selepas berjaya meneruskan pengajian di universiti terbabit sekali gus berusaha mencapai cita-cita menggenggam segulung diploma.

"Alhamdulillah, proses pendaftaran sudah selesai dengan sempurna dan tak sangka saya kini bergelar mahasiswa, saya mahu belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga," katanya.

Iklan
Fadzli (kanan) bertanyakan sesuatu kepada pelajar baharu yang mendaftar di UniSZA pada Isnin.

Siti Khalijah merupakan salah seorang daripada 814 pelajar peringkat diploma yang hadir pada sesi pendaftaran pelajar baharu UniSZA, di Kampus Gong Badak pada Isnin.

Seorang lagi pelajar, Mohd Syazwan Asyraf, 18, berkata, dia menyambung pelajaran ke UniSZA kerana mahu menambah ilmu pengetahuan dan memberi manfaat kepada orang lain.

Iklan

"Saya mahu belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membimbing pula masyarakat dengan ilmu yang berguna kerana ia juga adalah suruhan agama,” katanya yang merupakan anak bongsu dari lima beradik.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Fadzli Adam turut meluangkan masa turun padang beramah mesra bersama ibu bapa dan pelajar yang datang mendaftar di perkarangan kolej kediaman UniSZA.

Fadzli berkata, UniSZA berbangga dan mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang menyambung pengajian serta menjadi sebahagian daripada keluarga universiti berkenaan.

"Saya berharap pelajar-pelajar dapat memanfaatkan segala peluang pembelajaran dan kemudahan yang ada tiga kampus UniSZA ini sekali gus menjadi mahasiswa gemilang serta terbilang," ujarnya.