Polis tahan peniaga 'sumbat' vape pada bayi

Iklan
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki meletakkan ‘pod’ vape ke mulut seorang bayi.

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki dipercayai meletakkan rokok elektronik atau ‘pod’ vape pada mulut bayi perempuan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, suspek berusia 23 tahun yang bekerja sebagai peniaga itu ditahan pada jam 12.45 tengah hari Isnin.

Iklan
Iklan

Katanya, ibu kepada bayi perempuan berusia tujuh bulan itu membuat laporan polis berhubung kejadian pada jam 2.56 petang, Sabtu lalu.

Ujarnya, suspek merupakan kenalan kepada adik perempuan pengadu.

Iklan

"Menurut pengadu kejadian berlaku ketika beliau bersama bayi, adik perempuan serta suspek berada di kedai makan di sekitar Bandar Baru Uda.

"Tiba-tiba suspek dengan niat bergurau meletakkan vape tidak berfungsi pada mulut bayi yang dipangkunya dan kejadian itu dirakam adiknya.

Iklan

"Rakaman kejadian tersebut kemudian dimuat naik adik pengadu ke laman sosialnya sebelum ia tular dan menerima kecaman masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Rupiah, suspek terbabit akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman pada Selasa.

"Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan komen dan maklumat yang tidak benar serta tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana perkara tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini tular satu video memaparkan seorang lelaki meletakkan ‘pod’ vape pada mulut bayi yang berada di pangkuannya.

Perbuatan itu dikecam rata-rata pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dan mahu tindakan tegas diambil.