BEREGU wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah mempamerkan kelas tersendiri apabila menyumbangkan pingat emas ketujuh dan terakhir kontinjen negara di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Isnin.
Pusat Pameran Nasional (NEC) di Birmingham menjadi saksi penguasaan Pearly-Thinaah apabila mudah menjinakkan beregu dari England, Chloe Birch-Lauren Smith dalam perlawanan akhir yang berlangsung 33 minit.
Pada perlawanan set pertama, Pearly-Thinaah yang tampil dengan gaya permainan agresif bermula garang apabila mudah mengatasi lawan dengan kemenangan, 21-5.
Kemenangan itu penyuntik semangat apabila gandingan ranking ke-11 dunia tersebut mengekalkan corak permainan pantas untuk mengakhiri cabaran Chloe Birch-Lauren Smith, 21-8 pada set kedua.
Untuk rekod, pada aksi separuh akhir sebelum ini Pearly-Thinaah menewaskan beregu dari India, Treesa Jolly-Gaytri Gopichand Pullela, 21-13, 21-16.
Pingat emas dalam acara badminton individu diraih Pearly-Thinaah ini juga menyaksikan dominasi pasukan negara untuk kali ketiga berturut-turut di temasya tersebut.
Untuk rekod, edisi Gold Coast 2018 sebelum ini menyaksikan pingat emas negara diraih Chow Mei Kuan-Vivian Hoo manakala edisi Glasgow 2014, disumbangkan Vivian Hoo-Woon Khe Wei.