KAJANG - Konon mahu meloloskan diri, seorang lelaki warga Indonesia terpaksa menanggung kesakitan apabila cedera selepas terjun dari tingkat empat bangunan rumah kedai di Kompleks Hentian Kajang di sini pada Selasa.
Serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula jam 12 tengah malam itu berdepan kesukaran apabila beberapa rumah yang didiami pendatang asing tanpa izin (PATI) dikunci dari dalam selain pintu yang bergril.
Sebuah rumah yang didiami PATI warga Indonesia di tingkat empat telah diserbu sebelum salah seorang penghuni terjun dan tersangkut di bumbung tingkat dua.
PATI berusia lingkungan 20-an itu kemudian jatuh ke bawah sebelum berjaya ditahan anggota penguat kuasa yang bertugas.
Pemeriksaan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai buruh itu dipercayai mengalami patah di bahagian buku lali kanan.
Op Kutip yang dijalankan hasil risikan sejak pandemik lalu itu berjaya menahan 175 PATI terdiri daripada 132 lelaki, 41 wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan berusia dua hingga 55 tahun.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan itu hasil pemeriksaan terhadap 425 warga asing di 134 rumah membabitkan enam blok bangunan di lokasi terbabit.
"Kebanyakan warga asing yang ditahan bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran, pekerja kilang dan pekerja kedai di kawasan sekitar,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi serbuan.
Beliau berkata, serbuan ini turut menemui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dalam sektor perkilangan selain pemegang kad UNHCR etnik Rakhine.
Katanya, siasatan awal juga mendapati ada PATI warga Indonesia ini masuk ke dalam negara melalui jalan laut di perairan Johor, manakala warga Myanmar masuk melalui jalan darat di utara tanah air.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.