Angkasa sedia kongsi ilmu, kepakaran dengan Bangladesh

Iklan
Abdul Fattah (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan atas kunjungan delegasi Bangladesh diketuai Alhaj Nasrul (dua dari kiri) pada Isnin.

SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sedia untuk berkongsi ilmu dan kepakaran dengan gerakan koperasi di Bangladesh khususnya dari segi penubuhan koperasi sekolah serta koperasi kariah masjid di negara itu.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya mahu membantu mana-mana negara khususnya negara Islam yang berpotensi besar untuk membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup komuniti melalui koperasi kariah masjid.

Iklan
Iklan

"Majoriti penduduk di Bangladesh iaitu lebih 150 juta orang atau 91 peratus adalah beragama Islam menjadikannya negara keempat di dunia yang memiliki populasi tertinggi umat Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Angkasa menerima kunjungan Ahli Parlimen Bangladesh, Alhaj Nasrul Islam Babu di Kelana Jaya dan dalam pertemuan tersebut, pelbagai perkara disentuh antaranya pemerkasaan gerakan koperasi di Bangladesh serta kemasukan pekerja dari negara berkenaan ke Malaysia melalui koperasi.

Iklan

Abdul Fattah menambah, koperasi mampu menjadi sebuah platform yang dapat membantu merekrut pekerja-pekerja asing khususnya untuk bekerja dalam sektor pertanian dan perladangan.

Abdul Fattah (kanan) berbincang bersama Alhaj Nasrul di pejabat Angkasa di Kelana Jaya.

"Malah, kerajaan telah bersetuju koperasi terbabit dalam sektor perladangan diberi kuota pekerja asing," katanya.

Iklan

Sementara itu, Alhaj Nasrul yang juga merupakan anggota koperasi melahirkan harapan agar dapat bekerjasama dengan Angkasa dalam pelbagai bidang selain pembekalan dan pengambilan pekerja dari negara tersebut.

Katanya, peranan dan sumbangan gerakan koperasi di Bangladesh masih lagi di tahap yang rendah dan disebabkan itu penglibatan golongan muda dalam koperasi adalah perkara asas yang perlu dititikberatkan bermula sekarang.