Masih ada keliru kerjasama UMNO-Pas: ADUN Telemong

Iklan
Bazlan Abd Rahman & Rozi Mamat

KUALA TERENGGANU- Kerajaan negeri Terengganu diminta untuk menyediakan satu platform atau modul tentang bagaimana pelaksanaan kerjasama antara Pas dan BN bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat berkata, masih ramai yang keliru dengan konsep perpaduan yang sedang dilaksanakan, malah ada kalangan pemimpin yang sukar untuk bercakap kerana 'serba salah'.

Iklan
Iklan

Menurutnya, persefahaman antara kerajaan dan pembangkang Terengganu sudah boleh dilihat ketika ini, apabila kesemua wakil rakyat dilihat bersatu untuk kepentingan rakyat Terengganu.

"Namun, ia menyebabkan rakan-rakan saya jadi serba salah, kita tak tahu berada di landasan yang mana.

Iklan

"Ramai yang bercakap, semalam pun ada yang bercakap sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, hal perpaduan di kalangan kita," katanya sewaktu sesi perbahasan pada Sidang DUN Ke-14 di sini.

Beliau berkata, perkara ini dilihat bukanlah semudah yang disangka.

Iklan

"Bercakap memang mudah untuk perpaduan, nak molek, nak wat comel, nak buat baik.

"Sekarang ini kita adalah peringkat pelaksana dan diberikan ALLAH SWT untuk menjadi pemimpin buat masa ini, saya yakin dan percaya, kita semua bukan boleh menongkat langit pun, hidup tidak boleh kekal selama-lamanya maka kita kena memikirkan satu natijah terbaik demi kepentingan rakyat, agama, bangsa dan negara kita," katanya.

Jelas Rozi, platform itu penting supaya ia boleh diikuti dan jadi panduan kepada generasi akan datang.

"Rakyat melihat bagaimana kepimpinan kita, baik kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri kerana rakyat kita hari ini sudah jauh ke hadapan dan mereka akan melihat dan merasai bagaimana servis dan perkhidmatan kita kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman turut senada dan berkata, sebagai wakil rakyat di pihak pembangkang, mereka tetap menjadi pengimbang.

"Mana yang betul kita tetap kata betul... salah, tetap kita kata salah.

"Oleh sebab itu, kita harap kerajaan dapat memberi yang terbaik demi untuk rakyat, semuanya tertumpu untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

Sebelum ini, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru supaya semua pihak mengetepikan politik kepartian dan memberi keutamaan kepada agenda rakyat dan pembangunan negeri semasa Istiadat Pembukaan Penggal Kedua DUN Ke-14, Isnin lalu.

Baginda turut gembira melihat semangat perpaduan dan kekitaan di antara wakil rakyat dan rakyat tanpa mengira mana-mana parti terserlah demi memastikan Terengganu menjadi antara negeri paling harmoni di negara ini.