MELAKA - Insentif Bantuan Khas Ibu Tunggal secara one-off terus mendapat sambutan setelah kerajaan Melaka melonggarkan syarat-syarat dan memudahkan proses permohonan itu.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin berkata, setakat ini dianggarkan 300 daripada 5,000 jumlah keseluruhan ibu tunggal di negeri ini telah memohon dan layak menerima bantuan tersebut.
Menurutnya, golongan ibu tunggal yang layak tidak perlu lagi mengisi borang peemohonan di Pejabat Pembangunan Wanita di Menara Persekutuan Ayer Keroh namun boleh berbuat demikian di setiap 28 Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).
Katanya, langkah itu dipermudahkan bagi memastikan peruntukan sebanyak RM500,000 yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dapat dimanfaatkan golongan berkenaan.
"Ketika awal pelancaran, kurang sambutan namun selepas diumumkan penyerahan kepada setiap DUN dan akan diuruskan oleh wakil rakyat, permohonan semakin bertambah.
"Kalau dulu antara syarat yang ditetapkan mesti mempunyai tanggungan namun sekarang kita terbuka kepada mana-mana ibu tunggal untuk memohon bagi meringankan beban mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pra Pelancaran Jalur Gemilang di Terminal Teksi Melaka Sentral, Peringgit, pada Selasa.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB), Datuk Hasnoor Sidang Husin.
Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, program Jalur Gemilang itu sebagai medium menyantuni kira-kira 40 pemandu teksi di Melaka Sentral sekali gus menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
"Pemandu teksi dipilih sebagai 'duta' untuk bersama kibarkan Jalur Gemilang dan kita turun menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada mereka.
"Selain itu sebanyak 2,000 Jalur Gemilang turut diagihkan oleh JAPERUN Pengkalan Batu untuk dihias di kampung- kampung dalam DUN itu," katanya.
Tambahnya, rondaan turut dilakukan bagi memastikan tiada Jalur Gemilang yang lusuh atau dalam keadaan koyak dikibarkan dan sekiranya ada pihaknya akan gantikan dengan Jalur Gemilang baharu.