Lebih setengah juta nilai subsidi program MyGrocer@Wilayah

Iklan
Shahidan ketika menghadiri persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah memberikan subsidi berjumlah RM581,000 menerusi Program Jualan Rakyat MYGrocer@Wilayah sejak 14 Julai lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, program yang diadakan sekali seminggu untuk penduduk di Kuala Lumpur dan Labuan itu bertujuan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup melalui penyediaan jualan ayam dan telur ayam.

Iklan
Iklan

"KWP memberikan kadar subsidi bersasar sebanyak RM3 bagi pembelian seekor ayam (super) manakala RM0.50 subsidi bagi 10 biji telur ayam. Pemberian subsidi ini akan memanfaatkan seramai 147,000 penduduk yang tinggal di 61 Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Kuala Lumpur.

"Sehingga 5 Ogos 2022, seramai 63,296 penerima manfaat telah menikmati subsidi ayam segar dan telur ayam di Kuala Lumpur dengan nilai subsidi yang telah dibiayai oleh KWP sebanyak RM221,536,” katanya dalam sidang Dewan Negara pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berhubung tindakan diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi.

Shahidan menjelaskan, para pembekal di bawah program berkenaan turut menjual barangan keperluan asas seperti ikan, daging, sayur-sayuran dan barangan makanan kering seperti gula, tepung dan minyak masak pada kadar lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding pasar awam berdekatan penduduk, khususnya di PPR dan PA di Kuala Lumpur.

Iklan

Katanya, ini merupakan inisiatif pembekal sendiri tanpa melibatkan subsidi daripada kementerian.

Sementara itu mengenai pelaksanaan Program Jualan Rakyat MYGrocer@Wilayah di Labuan, program berkenaan dilaksanakan melalui peruncit yang dikenal pasti Perbadanan Labuan bagi memudahkan pemberian subsidi serta aksesibiliti kepada kumpulan sasar.

Pemberian subsidi tersebut katanya dijangka memanfaatkan seramai 15,000 penduduk di Labuan.

"Mulai 15 Ogos ini, KWP akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia, selaras dengan arahan dan keputusan Jawatankuasa Jihad Menangani Inflasi.

"Melalui program ini, penduduk di PPR atau PA bakal mendapat manfaat dari jualan murah sebanyak dua kali seminggu, yang bakal dilaksanakan kelak,” katanya.

Dalam pada itu Shahidan berkata, beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan KWP dalam usaha menangani isu kos sara hidup rakyat antaranya MYSchoolBus@Wilayah, MYJob@Wilayah, MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah.

Di samping itu katanya, kerjasama dengan DBKL dibuat bagi menyediakan kemudahan perumahan untuk sewaan dengan kadar mampu milik melalui program Rumah Majlis (Council Home) serta Rumah Mikro (Micro Housing).

"Selain daripada itu, KWP turut melaksanakan langkah-langkah proaktif dengan mewujudkan program jaringan sosial bertujuan meningkatkan pendapatan melalui keusahawanan seperti Program Usahawan Muda Kota dan pemberian lesen perniagaan kecil Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB),” katanya.