Dua premis di Rembau, Nilai disyaki curi air

Iklan
Sains dan SPAN menyerbu dua premis masing-masing di Rembau dan Nilai syaki curi air. - Foto Sains

SEREMBAN - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu dua premis di Rembau dan Nilai selepas disyaki membuat penyambungan paip tidak sah pada Isnin.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Sains, Norzita Ismail berkata,serbuan kira-kira jam 11 pagi itu diketuai oleh pegawai SPAN, Shariff Abd Rahman daripada Bahagian Penguatkuasaan SPAN Ibu Pejabat dan Unit Penguatkuasaan Kecurian Air Sains.

Iklan
Iklan

"Serbuan pertama dilakukan di sebuah premis rumah kedai yang sedang diubahsuai di Rembau. Siasatan tapak mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 16 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan pengubahsuaian tersebut.

"Serbuan kedua dijalankan ke atas sebuah bengkel motosikal di Nilai. Penghuni premis didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 15mm tanpa melalui sebarang meter," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan
Sains dan SPAN menyerbu dua premis masing-masing di Rembau dan Nilai syaki curi air. - Foto Sains

Beliau berkata, bekalan air dipercayai digunakan untuk kegunaan penghuni premis tersebut.

"Kedua-dua disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Iklan

"Pegawai penguatkuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di kedua-dua lokasi dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

"Pihak SPAN telah menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti," katanya.

Dalam pada itu Norzita berkata, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan melibatkan pengguna komersil dan domestik.

Antara penyambungan yang tidak sah yang dilakukan okeh premis terlibat. - Foto Sains

"Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan Sains dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW).

" Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-80088-6982. Setiap maklumat peribadi pemberi maklumat akan dirahsiakan oleh pihak Sains," katanya.