ALOR GAJAH - Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tiga tuduhan penipuan pembelian kenderaan bagi menyelesaikan masalah muflis membabitkan kerugian RM40,090.50, empat tahun lalu.
Ng Tai Wei, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.
Berdasarkan pertuduhan, Tai Wei didakwa telah memperdayakan Chia Weu Chung, 25, bagi bayaran pembelian kenderaan kereta Honda HR-V yang tidak wujud sehingga mendorongnya memindahkan wang deposit berjumlah RM2,000 ke dalam akaun tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan di daerah Alor Gajah pada 26 Julai lalu.
Tertuduh turut didakwa memperdaya Loh Chia How, 29, bagi wang deposit pembelian sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire yang tidak wujud.
Berikutan itu mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM10,000 ke dalam akaun bank miliknya.
Kesalahan itu dilakukan di daerah Alor Gajah pada 26 dan Julai 27 lalu.
Tertuduh juga telah memperdayakan seorang wanita lalu mendorong mangsa membuat pembayaran berjumlah RM28,090.50 ke dalam akaun miliknya bagi menyelesaikan masalah muflis dengan pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Sungai Indah Alor Gajah pada 1 Februari hingga 5 Oktober 2018.
Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan jaminan terhadap tertuduh berjumlah RM65,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung dua anak masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 23 September depan sebagai sebutan semula kes.