TANJUNG MALIM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mahu lebih ramai Keluarga Malaysia terutama golongan muda menjadikan manuskrip Melayu sebagai sumber pensejarahan yang utama.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, manuskrip Melayu, yang merupakan khazanah warisan negara, perlu dihayati serta diberi penghargaan oleh anak muda agar tidak ditelan zaman yang kini serba-serbi moden dengan kecanggihan teknologi dan sebagainya.
"Justeru bagi tujuan itu, Persidangan dan Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu 2022 (PAMM 2022) hari ini dianjurkan melibatkan kerjasama PNM dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Majlis Belia Malaysia.
"Ini bagi merealisasikan hasrat untuk menarik golongan muda menghargai manuskrip Melayu sebagai antara manifestasi kearifan tempatan dan jati diri bangsa Melayu serta memberi impak yang lebih besar di peringkat global selain berfungsi melaksanakan perolehan, pendokumentasian, pemeliharaan dan penggunaan manuskrip Melayu,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, demikian selepas merasmikan PAMM 2022 di sini pada Selasa yang turut dihadiri Ketua Pengarah PNM, Salasiah Abdul Wahab dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Santhara berkata, persidangan bertemakan ‘Manuskrip Perundangan Melayu: Korpus Warisan Tempatan dan Dunia’ itu antara lain menggalakkan Keluarga Malaysia terutama golongan muda menghargai manuskrip sebagai manifestasi kearifan ilmuwan Melayu Islam selain platform para penyelidik dari seluruh dunia berwacana dan menjalin kerjasama strategik.
Beliau berkata, pembentangan mengenai sejarah perundangan, undang-undang laut, penggunaan bahasa serta pengaruh Melayu-Islam ini membabitkan 23 pembentang dari dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Rusia, Indonesia dan Brunei yang bermula hari ini hingga Khamis.
"Antara pembentangnya ialah Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Seri Profesor Dr Awang Sariyan dan Profesor Jabatan Sejarah UniversitI Malaya, Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali.
"Sebanyak lapan sesi pembentangan bakal mencuri tumpuan iaitu Undang-Undang Terawal dan Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang dan Undang-Undang Kedah, Sejarah Perundangan, Perundangan Dari Aspek Bahasa, Undang-Undang Laut dan Islamisasi Dalam Hukum Kanun Melaka,” katanya.
Santhara juga berkata, pemilihan untuk mengadakan persidangan itu pada Bulan Kebangsaan juga signifikan dengan semangat kemerdekaan yang telah dibina selama 65 tahun berteraskan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. - Bernama