3 lelaki, dua wanita dicekup bersama syabu bernilai RM1.38 juta

Iklan
Polis menahan lima individu dipercayai pengedar dadah dalam satu serbuan di pekarangan sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Seramai tiga lelaki dan dua wanita disyaki pengedar dadah ditahan bersama syabu seberat 38.16 kilogram (kg) bernilai RM1.38 juta dalam satu serbuan di pekarangan sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua dadah terbabit ditemui di dalam sebuah kereta jenis Honda City dipercayai dibawa masuk dari negeri pantai timur untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

Iklan
Iklan

"Hasil soal siasat awal mendapati dadah yang dirampas dibawa dari luar Lembah Klang untuk diserahkan kepada penerima yang berada di Kuala Lumpur.

"Susulan dari maklumat itu, polis berjaya menahan seorang lelaki pada jam 6.15 petang di Jalan Chendana, Kuala Lumpur, dipercayai ahli sindiket yang berperanan sebagai penerima dadah untuk dibawa ke lain-lain lokasi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Noor Dellhan berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu seberat 1.7 gram (g) yang ditemui pada salah seorang daripada suspek terbabit.

"Dalam serbuan ini polis telah menyita wang tunai berjumlah RM1,900 dan dua buah kenderaan jenis Honda City dinaiki dua suspek lelaki dan Toyota Vellfire dinaiki seorang suspek lelaki serta dua suspek wanita," katanya.

Iklan

Beliau berkata, hasil semakan terhadap kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik dan jenayah.

Tambahnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek berkenaan positif dadah jenis syabu.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Selasa hingga 15 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.