SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM200,000 setahun bagi memberi peluang dan ruang kepada wanita dalam bidang pendidikan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, biasiswa itu diberikan sebagai pelaburan jangka panjang untuk terus memperkasa wanita.
Iklan
Iklan
"Baru-baru ini juga, Biasiswa Wanita Berdaya Selangor kohort dua bagi program pembelajaran sepanjang hayat telah disampaikan kepada 12 penerima," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Selasa.
Amirudin berkata, tajaan pengajian melibatkan program diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah akan mengangkat lagi wanita ke aras terbaik kepimpinan.
Jelas beliau, pendidikan berterusan sangat penting untuk memperkasa wanita dalam pembangunan negeri.
Menerusi info grafik di Facebook Amirudin pula menjelaskan, Biasiswa Wanita Selangor bekerjasama secara strategik dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM).
Usaha itu dilaksanakan bagi meningkatkan status sosioekonomi wanita dan menambah penyertaan golongan itu dalam kepimpinan serta pembuat keputusan.