Imigresen, LHDN bekerjasama atasi ketirisan cukai ekspatriat

Iklan
Wan Ahmad Dahlan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Jabatan Imigresen Malaysia yang diwakili Khairul Dzaimee (kanan) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri yang diwakili Mohd Nizom (kiri) di Cyberjaya, pada Selasa. - Foto Bernama

CYBERJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia menjalin semula memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengatasi ketirisan cukai melibatkan ekspatriat di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, MoU itu merupakan kesinambungan kepada MoU pertama sebelum ini yang dimeterai pada Jun 2014 dan berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun.

Iklan
Iklan

"MoU ini merupakan kali kedua selepas ia tertangguh dua tahun akibat pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, MoU tersebut dilaksanakan bagi membolehkan kerjasama perkongsian maklumat antara Imigresen dan LHDN berkaitan data-data ekspatriat yang bekerja di negara itu.

Iklan

"Data tersebut meliputi nama, warganegara, nombor passport, rekod keluar masuk dan tarikh tempoh sah laku pas," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis MoU tersebut, di sini pada Selasa.

MoU yang berkuat kuasa selama tiga itu ditandatangani Khairul Dzaimee bagi pihak imigresen dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi dan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan statistik LHDN, lebih RM20 bilion cukai dikutip daripada golongan itu sejak tahun 2014.

"Jumlah kutipan cukai ini konsisten setiap tahun dan pungutan tertinggi adalah pada tahun 2019 iaitu RM3.6 bilion," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sehingga kini 162,170 pas aktif ekspatriat dikeluarkan yang merangkumi 99,200 pemegang pas prinsipal dan 62,970 pas tanggungan.

"Melihat kepada keberkesanan kerjasama ini saya amat menyokong usaha sama antara Imigresen dan LHDN," katanya.

Sementara itu ditanya berapa ramai ekspatriat dikenakan tindakan kerana gagal menjelaskan cukai, beliau berkata, golongan itu patuh dengan arahan cukai.

"Tiada seorang pun dikenakan tindakan oleh Imigresen kerana mereka perlu membayar cukai bagi membolehkan pas ekspatriat disambung," katanya.