RATU terjun sensasi negara, Datuk Pandelela Rinong bertekad bangkit pada masa depan, selepas menampilkan aksi hambar di Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang melabuh tirai awal pagi Selasa.
Malah Pandelela tanpa berselindung juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan padu terutama barisan jurulatih dan rakan sepasukannya.
"Ini hanya baru satu permulaan dan harus percaya. Ada ketika anda perlu melalui pengalaman naik dan turun bagi memastikan anda maju ke hadapan.
"Terima kasih kerana sentiasa menyokong sepanjang perjalanan, terutamanya jurulatih dan rakan sepasukan yang sentiasa memberikan sokongan moral kepada saya...
"Anda adalah sumber motivasi saya untuk terus menyelam. Saya akan membalas budi anda dalam pertandingan yang seterusnya. #B2022 #malaysiadivingteam #terima kasih,” ujar penerjun berusia 29 tahun itu.
Untuk rekod, pasukan terjun negara yang tampil ke Birmingham 2022 dengan reputasi dua pingat gangsa di Kejuaraan Dunia, gagal menjelmakan sasaran sasaran satu pingat emas disasarkan sebelum ini.
Sebaliknya, kem terjun negara hanya mampu meraih tiga pingat perak dan satu pingat gangsa, selain Pandelela buat pertama kali gagal meraih sebarang pingat sejak penyertaan edisi New Delhi 2010.
Dalam pada itu, Pandelela kagum dengan persembahan bertenaga dipamerkan dalam kalangan atlet terjun muda negara sepanjang temasya Birmingham 2022.
"Saya bergelut dalam acara individu 10m platform wanita, namun melakukan terjunan yang agak baik menerusi acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri serta 10m platform seirama campuran dengan Jellson Jabillin, namun tuah tidak menyebelahi kami untuk meraih pingat.
"Sejujurnya saya gembira dengan gandingan kami terutama Jellson yang saya bergandingan di Birmingham 2022 buat kali pertama. Dia beraksi dengan baik walaupun mengalami kecederaan.
"Saya juga amat bangga dengan pasukan terjun Malaysia, terutamanya penerjun muda yang beraksi dengan baik kali ini,” ujarnya.