Nelayan Vietnam curi sotong 70kg ditahan

Iklan
Sebuah bot nelayan asing bersama tekong dan lima awak-awak warga Vietnam ditahan Maritim kerana menceroboh perairan negara ditahan petang semalam.

KUANTAN- Sebuah bot nelayan asing bersama tekong dan lima awak-awak warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kerana menceroboh perairan negeri ini untuk menangkap ikan.

Bot terbabit ditahan kira-kira jam 5 petang semalam di lokasi kira-kira 68 batu nautika dari Kuantan.

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, bot terbabit ditahan untuk pemeriksaan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap hasil laut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui dan merampas sotong basah yang dianggarkan seberat hampir 70 kilogram.

Iklan

"Kita percaya hasil tangkapan itu diperoleh dalam perairan negeri ini dan dibawa keluar untuk dijual di negara asing dengan harga yang lebih tinggi.

"Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan hampir RM 500,000,”katanya.

Iklan

Zulkarnain berkata, bot bersama semua tujuh nelayan warga Vietnam berusia antara 24 hingga 54 tahun ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, sehingga hari ini, Maritim Pahang melakukan 315 pemeriksaan dan 12 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.

"Orang ramai disaran memberi kerjasama dan bersama-sama membantu menangani sebarang aduan kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345,”katanya.