BIARPUN hadir ke Roma sebagai pemain pinjaman, pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG) Georgino Wijnaldum berazam membantu pasukan baharunya untuk melakar lebih kejayaan pada musim panas ini.
Menurut Wijnaldum, dia terharu dengan sambutan yang diberikan penyokong- penyokong Roma sejurus ketibaannya di Rom baru-baru ini.
Justeru katanya, keadaan itu menjadikan dia berasa bagaikan pemain yang sudah lama beraksi dengan kelab berkenaan.
"Saya menerima sambutan hangat sebaik tiba di Rom dan ia sesuatu yang cukup mengharukan kerana ia memberikan gambaran bahawa kelab ini benar-benar memerlukan khidmat saya bagi membantu mereka melakar kejayaan.
"Oleh itu, saya berazam untuk memberikan yang terbaik bersama mereka dengan membantu melakar lebih banyak kejayaan musim ini,” katanya.
Untuk rekod, selain Wijnaldim, Roma turut menandatangani Nemanja Matic, Mile Svilar dan Paulo Dybala secara percuma manakala Zeki Celik pula menyertai mereka dari Lille dalam usaha memperkuatkan kelab berkenaan bagi mengharungi Serie A musim ini.
Sementara itu Wijnaldum mendedahkan keputusannya untuk menyertai Roma secara pinjaman musim panas nanti banyak dipengaruhi oleh bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Mohamed Salah dan rakan sepasukan di PSG, Achraf Hakimi selain ditambah dengan usaha kelab Serie A itu bagi mendapatkan khidmatnya.
Malah, di bawah kendalian Jose Mourinho, Wijnaldum turut yakin Roma mampu muncul selaku antara kelab yang disegani dalam saingan Serie A.
"Saya tidak nafikan Salah banyak mempengaruhi saya untuk menyertai Roma dan ia turut dibantu dengan kesungguhan kelab berkenaan bagi mendapatkan khidmat saya.
"Saya juga ada bercakap dengan Hakimi, walaupun dia beraksi dengan Inter Milan, dia mengatakan Roma merupakan sebuah kelab yang baik dan berpotensi.
"Ketika bersama Liverpool, saya pernah beraksi di Roma dan keadaannya sungguh mengagumkan di mana ia turut melibatkan penyokong-penyokong yang sungguh hebat,” katanya.