Skim Kredit Perumahan: 13,038 permohonan diluluskan sehingga Mei

Iklan
Mohd Shahar - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 13,038 permohonan pembiayaan berjumlah RM1.5 bilion telah diluluskan dibawah Skim Jaminan Kredit Perumahan setakat 31 Mei, 2022 sejak ia mula beroperasi pada 2008.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, sebanyak 14,308 permohonan telah diterima dengan 1,270 daripadanya ditolak disebabkan beberapa faktor.

Iklan
Iklan

"Pertama; pertindihan permohonan yang mana 70 peratus daripadanya membuat permohonan di pelbagai bank secara serentak; kedua, dari segi kemampuan membayar iaitu mesti 65 peratus daripada jumlah pendapatan berikutan syaratnya mesti berpendapatan sekurang-kurangnya RM1,000.

"Ketiga, terdapat golongan T20 yang tidak bekerja turut memohon. Jadi, kita beranggapan mereka boleh menguruskannya sendiri dengan institusi bank,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Rabu.

Iklan

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah mengenai jumlah permohonan Skim Jaminan Kredit Perumahan yang telah ditolak.

Menjawab soalan asal Arman Azha mengenai langkah kerajaan untuk meningkatkan peserta dalam program ini, Mohd Shahar berkata kerajaan telah meneruskan skim ini dalam Bajet 2022 melalui penyediaan jaminan sehingga RM2 bilion yang dijangka memanfaatkan 5,000 hingga 6,000 isi rumah sasaran.

Iklan

Katanya, ia termasuk golongan muda, pekerja gig dan usahawan mikro untuk membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri.

Selain itu, beliau berkata, skim ini turut ditambah baik di mana had jaminan pembiayaan telah dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM400,000 yang turut merangkumi yuran guaman dan yuran penilaian hartanah.

Mohd Shahar berkata, kerajaan sentiasa komited untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu semua golongan terutamanya kumpulan B40 untuk memiliki rumah sendiri pada masa hadapan.

Sehubungan itu, katanya, sebuah Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan iaitu Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) telah ditubuhkan pada 2007 untuk menyediakan skim ini kepada beberapa golongan sasar untuk pemilikan rumah.

"Skim ini membolehkan orang awam yang berkemampuan, tetapi tidak mempunyai bukti atau dokumen pendapatan secara rasmi (penyata gaji) atau memperoleh pendapatan secara tidak tetap untuk mendapatkan akses pembiayaan perumahan sehingga 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih," katanya.

Menurutnya, bagi meningkatkan kesedaran mengenai skim ini, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah promosi bersama di antara SJKP dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui program I-Biaya serta promosi di media massa dan papan iklan dari masa ke masa.

"Kerjasama erat dengan pihak berkepentingan seperti institusi kewangan dan pihak pemaju turut dilaksanakan untuk tujuan promosi bersama dan kelulusan permohonan pembiayaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan," katanya. - Bernama