SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta kerajaan negeri menyediakan pelan jangka panjang yang lebih komprehensif mencakupi aspek sekuriti bekalan makanan untuk rakyat Selangor.
Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda mahu keutamaan diberikan kepada keseimbangan pengeluaran produk makanan industri, pengeluaran hasil tani dan produk oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Menurut kenyataan itu, baginda tidak mahu berlaku sebarang gangguan terhadap sumber bekalan makanan memandangkan Selangor antara pengeluar pelbagai produk pertanian dan hasil ternakan.
"Paling penting titah baginda, produk makanan yang dihasilkan haruslah berkualiti tinggi dan dipasarkan pada harga berpatutan demi kelangsungan hidup rakyat.
"Untuk itu, baginda menyeru pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan kajian ke arah penghasilan produk hasil tani dan ternakan yang lebih bermutu serta memastikan bekalannya sentiasa mencukupi," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Tambah kenyataan itu, baginda tertarik dengan pelbagai hasil pertanian menggunakan teknologi terkini yang diusahakan secara kecil-kecilan oleh rakyat, namun memiliki potensi pemasaran yang tinggi.
Ujar kenyataan itu, baginda juga menggesa agar setiap rakyat menggiatkan aktiviti bercucuk tanam dan mengusahakan ternakan supaya hasilnya dapat dinikmati untuk diri sendiri serta keluarga.
Pada Selasa, baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2022) di MAEPS, Serdang.
Baginda meluangkan lebih empat jam di pameran itu termasuk berkunjung ke dewan pameran utama, Pavilion Negeri Selangor, Laman Agrofood Ternakan, Sayuran, Miracle Garden dan Castle of Fruits.